-Tipu lah, tengok kamu asyik beli Duck, pakai barang-barang mahal je.
Aku ni budak kampung. Jiwa masih jiwa kampung. Mungkin luaran aku mula memakai baju, tudung yang mungkin ada sedikit jenama. Ye lah, aku dah mula bekerja. Dah mula buat duit.
Kalau 10 tahun yang lalu. Mungkin seorang Syazana hanya mampu memandang sahaja baju yang tergantung di Uniqlo. Tak, bukan memandang. Masuk ke Mall pun terasa kerdil. Duit dalam kocek hanya RM 10 itupun wang belanja yang Abah beri. Cukup untuk tambang bas.
Tahun 2010. SPM. Seorang Syazana pada masa itu hanya seorang budak kampung. Sekolah biasa-biasa. Naif. Bijak tapi naif. AddMath mata pelajaran terbaiknya. Impiannya, untuk menjadi kaya. Untuk menjadi lebih baik. Untuk buat yang terbaik. Teringat pertama kali aku ke SBP untuk sebuah seminar. Seorang cikgu di situ bercerita tentang INTEC. Tentang pengalaman belajar ke luar negara. INTEC? BELAJAR LUAR NEGARA? Sungguh tak pernah aku bayangkan. Zaman ketika itu tiada internet. Aku juga tiada dorongan, pendedahan tentang masa hadapan. Apa career path yang ada. Tapi sejak itu, aku mula memasang angan-angan. Aku nak jadi doktor.
Result SPM. Aku dapat straight A. Aku dapat tawaran jadi Doktor bersama biasiswa JPA. Namun sayangnya mak abah tak setuju. Terlalu jauh kata mereka. Terlalu lama. 6 tahun. Aku terdiam. Abah bawa aku ke Putrajaya. Aku serahkan surat tolak tawaran tersebut. Hati aku menangis. Aku merayu untuk diterima ke Asasi UITM. Alhamdulillah dapat. Aku masuk belajar sebulan lebih lambat daripada orang lain. Aku ke kelas memakai baju apa yang ada. Duit kocek juga mengharapkan elaun yang diberikan. Teringat kemeja pertama aku beli ketika Asasi dengan Nisa. Beli bersama-sama. Aku warna merah. Nisa warna hijau. Baju tu lah yang aku lenjan bertahun-tahun. Bila teringat balik. Merah? Banyak-banyak warna. Merah? Seriuslaa. Fashion terrorist dari mula. Begitu jugalah tudung. In fact, semua baju aku sebenarnya adalah baju lama dari sepupu aku yang dia tak nak pakai lagi. Okay mula belajar. Lilit shawl. Hana tajima style? Check✅ . Dian pelangi style? Check✅. Tapi balik kampung, treksuit, tshirt dengan selipar jepun jugak aku pakai. Masih jugak ke belakang rumah meninjau pokok manggis belakang rumah. Tengok dah berbuah ke belum. Petang-petang pergi rumah Wan duduk dekat pangkin. Termenung. Tenang.
Masuk ijazah sarjana muda. Aku dikelilingi kawan yang boleh dikatakan "kaya". Aku mengaku. Aku mula belajar untuk melawa. Sikit la. Bagi la chance. Yelah, tengok kawan-kawan lagi dahsyat. Beli iPhone latest model setiap tahun. Aku beli phone Samsung yang medium spec je. Beli kemeja Cotton On. Kasut Keds kuning legend. Konon cool. Eh tak, masa tu dah rasa cukup cool. Tapi aku lenjan laa pakai sampai habis degree. Tapi tak pernah aku minta duit dari mak abah. Dapat biasiswa kan. Hidup senang orang cakap.
10 tahun berlalu. Aku dah boleh beli baju Uniqlo yang dulu hanya mampu dipandang. Aku dah mampu nak beli tudung Duck. Tapi aku terkilan bila dicop suka pakai barang-barang mahal. Sungguh. Aku sedih. Mereka tak tahu perjalanan hidup aku. Tapi mereka menghukum aku sebegitu. Takpelah. Aku maafkan. Percayalah. Aku masih seorang Syazana yang sama seperti 10 tahun yang dulu. Yang masih keluar rumah memakai treksuit, tshirt dan selipar jepun. Yang masih merindui pokok manggis di belakang rumah walau di mana jua aku berada.
Dan tika ini aku merindui kampung halamanku.
Syazana,
Miri 2021.